ICU dan pembayar cukai pendapatan
Pernahkah anda berada di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU)? Tentu anda boleh bayangkan bagaimana keadaan pesakit yang berada di dalam unit ini. Dengan mulut, tangan, leher dan badan dipenuhi wayar dan salur pernafasan. Dikelilingi oleh komputer dan peralatan canggih untuk membantu pesakit yang selalunya berada ditahap kritikal untuk kembali normal. Jika dipanjangkan umur, akan kembali normal. Jika tidak, setakat itu sahaja umur yang dibenarkan.
Saya bukan nak cerita pasal pesakit tu. Yang saya nak sentuh ialah tentang peralatan sokongan yang digunakan untuk membantu pesakit. Peralatan memang canggih dan harganya pasti mencecah ratusan ribu atau lebih lagi. Saya difahamkan bahawa setiap jururawat akan belajar tentang cara penggunaan peralatan tersebut sekiranya ianya baru diperolehi dan terkini. Dengan teknologi soft touch, prosedur perubatan dan pemantauan keatas pesakit menjadi semakin cepat dan pantas. Terima kasih kepada semua jururawat yang masih setia menimba ilmu pengetahuan tanpa jemu.
Persoalannya ialah dari mana datangnya duit untuk memperolehi peralatan yang canggih dan terkini itu? Tentunya dari kerajaan atau lebih tepat lagi dari Kementerian Kesihatan. Tanya lagi, duit Kementerian Kesihatan tu datangnya dari mana? Ya, yang pastinya dari orang ramai yakni KITA. Tapi tak semuanya tergolong dalam KITA tu. Yang pasti, golongan KITA adalah rakyat setia yang menyumbang bantuan kepada kerajaan dengan membayar cukai pendapatan pada setiap tahun.
Adakah anda yang saya maksudkan? Jika YA, tahniah dan teruskan bakti murni anda tanpa mengeluh. Bagaimana yang lain? Sekiranya belum berbuat demikian, mulakan dari sekarang. Anda pasti akan terharu dan berterima kasih jika pada suatu hari nanti anda adalah pelawat ICU. Harap ianya dijauhi dari menimpa kita dan keluarga tersayang.

















